SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN DARIPADA MOHD JANIS SDN BHD

Urusniaga syarikat Mohd Janis Sdn Bhd dan cawangannya di Sengkang akan bercuti mulai 30 Ogos 2011 hingga 5 September 2011 sempena Aidilfitri. Urusniaga akan beroperasi semula pada 6 September 2011.

Pengurusan dan kakitangan syarikat Mohd Janis Sdn Bhd mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada semua pelanggan dan umat Islam di mana saja berada.

ULANG TAHUN KELAHIRAN BOSS MJSB

HARI ini, 16 Mei 2011 adalah ulang tahun kelahiran Haji Mohd Janis Abu Bakar yang ke 54 dan Hajah Tuminah Hassan Muhali yang ke 52.

Staff MJSB telah membuat kejutan dengan meraikan sambutan tersebut secara kecil-kecilan tetapi amat bermakna kerana ia turut dihadiri Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan MPOB, Haji Adzmi Hassan, Pengarah MPOB Wilayah Selatan, Haji Zulkefli Shawal dan Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, En Abd Rahman Mohamed.

PENIAGA SAWIT LEDANG PATUH ARAHAN

Oleh Azran Jaffar

DALAM usaha membantu kerajaan meningkatkan Kadar Perahan Minyak (OER) sebanyak 23 peratus pada tahun 2020, Persatuan Peniaga Buah Sawit Ledang (PPBSL), Johor, giat mengingatkan ahli supaya tidak berurusniaga dengan buah sawit tandan muda yang dibekalkan pekebun kecil.

Persatuan yang dianggotai kira-kira 50 ahli itu menegaskan, mereka sentiasa mengikuti amalan ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan sudah menjelaskan kepada pekebun kecil supaya tidak membekalkan mereka dengan buah tandan muda.

Pengerusi PPBSL, Mohd Janis Abu Bakar, berkata kali terakhir ahli persatuan diingatkan mengenai perkara berkenaan pada mesyuarat terbaru mereka yang diadakan baru-baru ini dan setiap kali mesyuarat perkara itu antara agenda yang dibincangkan.

“Walaupun pada masa ini masih ada pekebun kecil yang membekalkan buah tandan muda tetapi peratusnya sudah semakin berkurangan iaitu antara 3 hingga 5 peratus dan dijangka dalam masa tidak berapa lama lagi masalah ini akan dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Gambir, Ledang.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah ahli jawatankuasa PPBSL dan Ketua Pejabat, MPOB Wilayah Selatan, Zulkefli Shawal

Buah tanda muda bukan saja tidak mengandungi minyak, malah urus niaga buah tandan muda menjadi kesalahan di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya di mahkamah.

Ahli Persatuan tidak akan lagi berurus niaga dengan buah tandan muda dan pihak kilang juga tidak membeli dan tidak memproses buah tandan muda. Peniaga buah sawit yang bertindak sebagai peraih adalah orang tengah antara pekebun kecil dan pengilang.

Untuk memastikan perkara ini dilaksanakan dengan sepenuhnya, pada 1 April lalu MPOB menempatkan pegawai penguat kuasa di kilang kelapa sawit di seluruh negara untuk memastikan pengilang tidak membeli buah tandan muda.

Mohd Janis berkata, hampir 70 peratus pekebun kecil sudah memahami peraturan ditetapkan MPOB dan pihaknya dari semasa ke semasa memberi taklimat dan ingatan kepada pekebun kecil mengenai perkara itu.

“Bagi peniaga buah sawit pula, walaupun tidak semua mereka yang berada di kawasan Ledang menjadi ahli PPBSL, namun mereka juga diingatkan mengenai peraturan itu dan pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan ahli PPBSL,” katanya.

Peningkatan dalam OER adalah satu daripada lapan projek permulaan (EPP) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sawit digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mana kerajaan mensasarkan OER sebanyak 23 peratus pada tahun 2020 daripada 20.49 peratus pada masa ini melalui peningkatan tahunan sebanyak 0.3 peratus.

Dengan rata-rata ahli menyatakan kesungguhan mereka untuk mematuhi peraturan ditetapkan MPOB berhubung buah tandan muda, namun Ahli Jawatankuasa PPBSL menyatakan buah tandan muda bukan semata-mata faktor yang menentukan OER bagi kawasan Ledang.

Setiausaha PPBSL, Lim Chong Seng, pengilang juga harus memainkan peranan mereka dengan berkesan kerana ada ketikanya keadaan di kilang yang menyebabkan OER yang dicapai tidak seperti diharapkan.

“Pengilang perlu memastikan mesin mereka dalam keadaan yang baik kerana ia antara faktor menentukan OER,” katanya.

Seorang Ahli Jawatankuasa, Tay Kim Boon, pula berkata, pengilang membeli sawit yang mereka bekalkan pada kadar OER 19 peratus dan kadar itu mereka bayar kepada pekebun kecil.

SUMBER: BERITA HARIAN (BERITA SAWIT) 7 MEI 2011

PERTEMUAN DENGAN MPOB (SISIPAN BERITA SAWIT BERITA HARIAN)

PADA 12 April 2011, Ahli Persatuan Peniaga Kelapa Sawit Daerah Muar/Ledang mengadakan pertemuan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berbincang mengenai masalah buah sawit muda.

Pertemuan diadakan di pejabat Mohd Janis Sdn Bhd turut dihadiri Pengarah MPOB Wilayah Selatan, Tuan Haji Zulkifli, Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Encik Abd Rahman Mohamed serta Unit Sisipan Berita Sawit Berita Harian diketuai oleh Encik Che Johari Mamat.

Laporan mengenai pertemuan itu akan disiarkan dalam sisipan Berita Sawit, Sabtu awal bulan Mei ini.

SINAR HARIAN JOHOR: PILIH BUAH SAWIT TERBAIK

AYAHANDA HAJI MOHD JANIS KEMBALI KE RAHMATULLAH

(25 OGOS 1930 – 05 MAC 2011)

HARI ini, Sabtu, 5 Mac 2011 pada jam 7.21 pagi ayahanda Tuan Haji Mohd Janis Haji Abu Bakar iaitu Tuan Haji Abu Bakar Bin Haji A Hamid telah kembali ke rahmatullah pada usia 81 tahun setelah terlantar sakit tua. Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur sebelum Solat Zohor hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menziarahi jenazah Allahyarham. Semoga roh Allayarham bersemadi di sana dengan aman dan dicucuri rahmat Ilahi.

AL-FATIHAH

 

MJSB DALAM BERITA HARIAN JOHOR 12 JAN 2011

BERITA SAWIT (BERITA HARIAN 01.01.2011)

PERSATUAN BANTAH CADANGAN MPOB

CADANGAN mengenakan syarat menghalang peniaga daripada membeli dan menjual tandan buah segar (FFB) kelapa sawit di kalangan peniaga perlu di ditarik balik kerana tidak memberi manfaat kepada pihak berkepentingan khususnya peniaga dan pihak industri secara keseluruhannya.

Presiden Persatuan Peniaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, peraturan baru Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu berkemungkinan menyebabkan peniaga kecil gulung tikar dan pendapatan petani berkurangan.

“Pembelian dan penjualan FFB di kalangan peniaga perkara biasa dan syarat halangan itu akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan jika mereka tidak dibenarkan berniaga sesama mereka,” katanya.

“Kami sangat prihatin mengenai perkara ini walaupun sudah mengemukakan bantahan pada mesyuarat dengan MPOB tahun lalu, berkaitan cadangan memasukkan syarat itu ke dalam lesen peniaga minyak sawit,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. Pada 13 Ogos 2009, MPOB mencadangkan dikenakan peraturan baru menghalang peniaga daripada menjual dan membeli FFB di kalangan mereka di negara ini.

Peraturan itu dijangka memberi peluang kepada estet, pekebun kecil dan peniaga menjual secara langsung kepada pekilang. – Bernama

SUMBER: HARIAN METRO, 01 JANUARI 2011

ANUGERAH INDUSTRI SAWIT MPOB 2009/2010

Pada 15 Disember 2010, Mohd Janis Sdn Bhd telah menerima Anugerah Industri Sawit MPOB 2009/2010 bagi kategori Peniaga Sawit peringkat nasional. Majlis yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel Marriot Putrajaya dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tan Sri Bernard Giluk Dompok. Hadir sama Pengerusi MPOB, Datuk Seri Utama Shahrir Abd Samad dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.