CADANGAN mengenakan syarat menghalang peniaga daripada membeli dan menjual tandan buah segar (FFB) kelapa sawit di kalangan peniaga perlu di ditarik balik kerana tidak memberi manfaat kepada pihak berkepentingan khususnya peniaga dan pihak industri secara keseluruhannya.
Presiden Persatuan Peniaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, peraturan baru Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu berkemungkinan menyebabkan peniaga kecil gulung tikar dan pendapatan petani berkurangan.
“Pembelian dan penjualan FFB di kalangan peniaga perkara biasa dan syarat halangan itu akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan jika mereka tidak dibenarkan berniaga sesama mereka,” katanya.
“Kami sangat prihatin mengenai perkara ini walaupun sudah mengemukakan bantahan pada mesyuarat dengan MPOB tahun lalu, berkaitan cadangan memasukkan syarat itu ke dalam lesen peniaga minyak sawit,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. Pada 13 Ogos 2009, MPOB mencadangkan dikenakan peraturan baru menghalang peniaga daripada menjual dan membeli FFB di kalangan mereka di negara ini.
Peraturan itu dijangka memberi peluang kepada estet, pekebun kecil dan peniaga menjual secara langsung kepada pekilang. – Bernama
SUMBER: HARIAN METRO, 01 JANUARI 2011
Filed under: Pelbagai




